Jumaat yang bahagia. Apa kata hari ni kita main masak-masak, nak? Masak apa? Masak apa sahaja yang boleh dimakan. Adapun, yang tak boleh dimakan, masak pun tak guna, tetap tak boleh dimakan. Misalnya, masak ikan, sayur, ayam, puding, daging atau apa-apa sajalah, janji bila masak boleh ditelan. Kalau masak sup pam basikal atau tom yam tukul besi, nanti kan terkehel lak gusi atau gigi nak memamahnya.

Hurm, pasal semalam ada beli ikan anchoa (bilis besar), jadi apa kata kita masak anchoa celup tepung? Fuhh, bukan nak puji diri sendiri, tapi anchoa goreng celup tepung dari air tangan makcik memang senantiasa laris. Tak pernah jualan tak habis, licin sokmo. Kalah ikan celup tepung pok long di pantai Teluk Ketapang Darul Iman. Sekilo beli, sekilo goreng, sekilo habis, nah 3 kilo naik berat badan. Nasib baik makcik mengidap penyakit metabolisma, so lepas makan terus buang, maka takdelah sampai 5 kilo naiknya.

 

Anchoa celup tepung.

 

Resepi anchoa celup tepung? Eh takkan tak tahu? Tepung beras? Eh, tak, takde tepung-tepung berasnya. Mana nak cari tepung beras di Valladolid Darul Nothing ni? Ada beras pun syukur. Kalau tak, makan pizzalah hari-hari. Ahaks, pizzalah sangat! Makcik tak pernah guna tepung beras selama berkecimpung sebagai penggoreng anchoa di sini. Dah tu pakai tepung apa? Tepung gomok? Tepung gandumlah, tepung gomok gimana rupa pun makcik tak tahu! Alaa, tepung gandum biasa, campur secubit garam dan air paip. Pastikan air paip sebab kalau diguna air mati, dia tak mau, dia tak umpphh! Sebab air mati kerana namanya “air mati” maka ia turut mematikan atau menamat-riwayatkan keinginan untuk gandum-gandum itu naik dan ranggup. Hurm, ni teori makciklah, boleh terai kalau tak percaya.

Okeh, macam biasa mula-mula baca bismillah dulu, kemudian barulah diletak kuali di atas dapur. Hidupkan api, tonggeng botol minyak (makcik guna perkataan tonggeng sebab botol minyak makcik besar, kalau botol kecik, guna perkataan tuang), dan tunggu hingga minyak panas. Sebelum itu, selamkan anchoa ke dalam bancuhan tepung, garam dan air paip hingga kesemua anchoa lemas. Pastikan anchoa benar-benar lemas kerana jika ia tidak benar-benar lemas maka ia akan terpekik terlolong di dalam kuali nanti dek kepanasan. Bila minyak dah panas membara, bolehlah ditohok (minta maaf, makcik guna perkataan tohok demi untuk memertabatkan lagi bahasa ibunda makcik) anchoa-anchoa yang kelemasan itu tadi ke dalam kuali.

 

Ranggup dan enak.

 

Macam mana nak tahu anchoa-anchoa itu telah masak? Apakah tanda-tanda dan petunjuk-petunjuknya? Jika nak bersalin, antara tandanya ialah pecah ketuban. Tetapi jika ketuban pecah tika anchoa sedang di kuali itu maknanya dah dekat sangat nak bersalin dan tidak perlulah tunggu hingga anchoa masak. Terus ke klinik swasta berdekatan. Pertama, kenapa swasta? Ahh, makcik sebenarnya trauma dan teramat fobia dengan klinik-klinik atau hospital-hospital kerajaan. Banyak pengalaman buruk bersalin di situ. Menyesal makcik kerana dulu pergi menyerah diri ke klinik-klinik dan hospital-hospital kerajaan. Baik pergi ke klinik-klinik dan hospital-hospital pembangkang. Fuhh!! Kedua, kenapa berdekatan? Eh, kalau berjauhan, nanti bersalin dalam lift! Dak pun atas tangga (in case lift hospital rosak).

Oh ya, berbalik kepada cerita anchoa tadi, makcik suka balik-balikkan anchoa di dalam kuali tanpa menunggu hingga ia masak sebelah-sebelah dulu (minta maaflah kalau tak faham ayat ni, sebab makcik sendiri pun rasa keliru, eheh..). Bila sentiasa dibalik-balikkan, anchoa-anchoa tersebut akan rata garingnya, maka terelaklah ia dari hangit atau hangus sebelah. Bila dah masak, angkat pelan-pelan dengan penuh tertib terening (minta maaf, sekali lagi makcik guna perkataan klasik “terening” demi untuk mendaulatkan bahasa ibunda makcik dan demi cinta kasih makcik yang tak berbelah bahagi terhadap bahasa ibunda makcik). Bercakap tentang bahasa ibunda ni kan, jangan ingat bila makcik dah bermusafir sejauh ini maka makcik jadi lupa diri, terus bermata biru termasuklah dengan otak-otaknya sekali biru. Isshhkkk, takde! Takde maknanya tu. Di mana bumi makcik pijak, maka di situlah pakcik makcik junjung. Eh, salah, langit. Maafkan makcik, dah tua-tua ni, nyanyuk. Makcik tetap rindukan budu meski hari-hari hidung makcik duk hidu bau keju. Makcik tetap berkomunikasi terutamanya dengan pakcik dalam bahasa ibunda makcik hingga makcik perasan, jiran-jiran pun dah mula reti menyebut budu, belacan, petai, sodek dan takmboh.

 

Jangan lupa, air lada atau "colek".

 

Wokey, anchoa-anchoa tu kan, bila dah masak, letak dalam pinggan arcopal di atas alas meja zara dan, … hey tunggu apa lagi, makan lerr… Opss, baca bismillah dulu dan jangan lupa doa makan. Selamat mencuba dan kepada kaum adam, jangan lupa pergi masjid ya, hari ini hari Jumaat! Balik jumaat, haa, makan anchoa. Polok, jangang dok polok!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...