Di pagi sabtu yang tika matahari meninggi dan menggigit.

 

Kakak: Mama, besar besok-besok kakak taknak jadi pensyarah! (tegas)

Aku: Aarr? Nape?

Kakak: Sebab kakak taknak anak-anak kakak jadi macam kakak.

Aku: Aarr?

Kakak: Kakak taknak anak-anak kakak buat kerja sekolah sorang-sorang, tengok tv sorang-sorang, cakap sorang-sorang, main sorang-sorang dan termenung sorang-sorang.

Aku: Aarr?

Kakak: Kakak nak bantu anak-anak kakak buat kerja sekolah, kakak nak temankan anak-anak kakak tengok tv, kakak takkan biarkan anak-anak kakak cakap sorang-sorang, kakak akan duduk sembang-sembang dengan mereka, main-main dengan mereka dan dengar luahan hati mereka.

Aku: Aarr? Tapi mama pun buat semua tu kan? Mama bantu kakak siapkan kerja sekolah, tengok tv dengan kakak, borak-borak dengan kakak, kadang-kadang mama pun main sama-sama dengan kakak dan adik-adik, kan?

Kakak: Ya, tapi lebih sedikit masanya berbanding masa yang mama habiskan di depan laptop!

Aku: Aarr?

Kakak: So, kakak tak mau jadi pensyarah.

Aku: Aarr? Habis tu, kakak nak jadi apa?

Kakak: Nak jadi pembantu rumah! (serius)

Aku: Aarr?? Pembantu rumah? Nape? (terkejut besar)

Kakak: Sebab kakak tengok dalam banyak-banyak pekerjaan, kerja pembantu rumah aje tak pakai laptop!

Aku: Kakak? Ohh.. (terkedu)

 

Nota:-

Sebenarnya mesej yang kakak cuba nak sampaikan padaku di atas amat besar dan penting. Betapa dalam hidup ini, dalam kita sibuk mengejar tuntutan duniawi, kita sering terlupa akan jiwa dan hati anak-anak yang perlu dihargai dan diisi. Kata-kata kakak begitu memberi kesan kepadaku dan membuatkan aku berasa sungguh terpukul. Kadang-kadang kita sibuk hendak memuaskan hati orang lain atas alasan mahu berbakti kepada agama, bangsa dan negara hingga kita lupa kewajipan kita terhadap anak-anak kita sendiri. Hak mereka untuk mendapat perhatian, kasih sayang, belaian, didikan dan sebagainya diabaikan atau dikemudiankan, sedangkan merekalah sebenarnya agama, merekalah sebenarnya tonggak bangsa dan negara. Aku sering lupa dan alpa bahawa anak-anak itu adalah anugerah, adalah amanah untuk Tuhan menguji agamaku, untuk Tuhan menilai fungsiku sebagai ibu, untuk Tuhan menentukan pula hala tujuku selepas mati. PhD? Duniawi semata-mata! Ku tinggalkan tesisku, ku tinggalkan laptopku, ku pimpin tangan kakak ke ruang tamu dan ku bisikkan padanya; “Kakak, maafkan mama, selepas ini pada hari kakak tidak bersekolah atau setelah kakak pulang dari sekolah, mama akan pastikan mama berada bersama-sama kakak dan adik-adik. Kita makan sama-sama, kita borak-borak sama-sama, kita tengok tv sama-sama, kita siapkan kerja sekolah sama-sama dan kalau nak termenung pun kita termenung sama-sama, ok?” Rasa bersalahku reda setelah melihat kakak tersenyum dan memelukku erat!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...