Senario 1:-

Si suami sedang menonton tv di ruang tamu manakala si isteri berada di kamar beradu. Kemudian, si isteri keluar dan bertanya kepada suaminya; Ayang, tak ngantuk lagi ke? Si suami menjawab; Tidak! Si isteri masuk semula ke kamar. Kemudian, si isteri keluar semula dan bertanya lagi; Ayang, best sangat ke cerita tu? Si suami menjawab; Best! Best sangat. Si isteri tunduk dan masuk semula ke kamar. Tidak berapa lama kemudian, si isteri keluar lagi dan berkata; Ayang, hari dah lewat malam, besok ayang kerja, kan?. Si suami menjawab; Ya, besok kerja, (sambil terus menonton dengan asyiknya). Si isteri beredar ke kamar dengan segunung hampa.

 

Senario 2:-

Si isteri sedang membaca majalah di atas sofa manakala si suami baru bangun tidur. Sambil menguap si suami bertanya kepada si isteri; Ayang dah masak? Si isteri menjawab; Belum! Si suami mengangguk-ngangguk kepala. Kemudian si suami berkata; Ayang, laparlah! Si isteri menjawab; Oh ya ke? (tanpa berganjak dari sofa). Selang beberapa minit si suami ulang bertanya; Apa agaknya ayang nak masak arr? Si isteri menjawab; Entah! (sambil mengangkat bahu dan terus membaca majalah dengan asyik masyuk). Si suami beredar dengan selaut geram.

 

Kedua-dua senario di atas adalah contoh tentang akibat manusia yang hanya respon kepada lakuan lokutif tanpa memahami lakuan ilokutif iaitu niat sebenar penutur yang mengujarkan sesuatu tuturan. Apabila lakuan ilokutif tidak betul-betul difahami atau sengaja tidak difahami, maka ia turut menghindar lakuan perlokutif daripada berlaku. Kesannya adalah kehampaan atau kekecewaan di pihak penutur atau pengujar dan kesan yang lebih besar adalah konflik rumahtangga.

Dalam senario 1 di atas misalnya, pertanyaan demi pertanyaan yang dilontarkan si isteri sebenarnya bukan sekadar pertanyaan yang memerlukan kepada jawapan harfiah. Si isteri sebenarnya mempunyai keinginan untuk “bersama” si suami pada malam tersebut. Malangnya setelah menunggu beberapa lama di kamar, si suami tidak juga muncul-muncul kerana keralitan menonton tv di ruang tamu. Si isteri keluar beberapa kali, mengemukakan beberapa pertanyaan. Namun, si suami hanya respon kepada pertanyaan tersebut tanpa melakukan tindakan yang diharapkan si isteri. Pertanyaan-pertanyaan tersebut sebenarnya hanyalah sekadar lakuan lokutif, sedangkan lakuan ilokutifnya ialah mengemukakan permintaan (request) iaitu si isteri sedang meminta si suami agar masuk ke kamar. Lakuan perlokutif atau tindakan yang diharapkan oleh si isteri ialah si suami segera menutup tv, dan masuk ke kamar untuk bersamanya.

Jika dalam senario 1 kehampaan adalah di pihak si isteri maka dalam senario 2 pula kita melihat kehampaan di pihak si suami. Si suami yang bangkit dalam keadaan lapar, mahu agar isterinya segera memasak atau menyediakan makanan. Soalan-soalan yang dikemukakan si suami hanyalah lakuan lokutif sedangkan lakuan perlokutif atau apa yang diharapkan si suami sebenarnya ialah agar si isteri segera menyediakan makanan untuknya yang kelaparan. Dengan kata lain, di sebalik mengajukan soalan, si suami sebenarnya sedang mengemukakan permintaan (lakuan ilokutif). Namun, si isteri hanya respon pada lakuan lokutif si suami sahaja tanpa melakukan apa-apa tindakan yang diharapkan si suami iaitu berhenti membaca majalah dan segera ke dapur menyediakan makanan.

Samada si suami dalam senario 1 dan si isteri dalam senario 2 di atas benar-benar tidak memahami lakuan ilokutif pasangan masing-masing atau ia sengaja tidak difahami, ia tetap memberi impak negatif dalam rumahtangga. Ia boleh menjadi bibit-bibit awal ketidak-puasan hati yang membarah hari demi hari hingga akhirnya membunuh rasa hormat dan meruntuhkan rasa percaya kepada pasangan masing-masing. Bukankah setiap masalah besar dalam rumahtangga itu berpunca dari asalnya cuma setitis rasa geram dan hampa yang menitik di jiwa? Mula-mula setitis, lama kelamaan ia menjadi lautan keciwa yang batin akan karam di dalamnya. Saat kekaraman, kadang-kadang dilontar pelampung kasih sayang pun sudah tidak berguna lagi. Maka jadilah rumahtangga tersebut “retak menanti belah”.

Kesimpulannya, hayatilah ilmu pragmatik, ia penting dalam rumahtangga. Keretakan dalam rumahtangga adalah datangnya dari keretakan jiwa yang mungkin berpunca dari keretakan pragmatik. Retak pragmatik      →     Retak jiwa       →     Retak rumahtangga. Suka disarankan bahawa yang perlu dihayati adalah konsep-konsep pragmatik sahaja, adapun akan istilah-istilah pragmatik yang aneh-aneh itu hanya diketahui oleh mereka yang ahli di dalam bidangnya sahaja. Maksud saya ialah fahami dan hayati konsep-konsepnya sahaja tidak kira ia dipanggil atau disebut apa sekalipun. Akan istilah-istilah seperti lakuan lokutif, ilokutif, perlokutif dan sebagainya itu adalah sangat teknikal dan digunakan khusus di dalam bidangnya sahaja. Sudah tentu istilah-istilah tersebut tidak pernah ditemui oleh mereka yang tidak pernah mendalami pragmatik secara khusus apatah lagi oleh orang-orang kampung yang tidak berpendidikan tinggi.

 

Selamat mengamankan rumahtangga.

 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...