25. May 2011 · Write a comment · Categories: Jiwa

Pada hari yang aku berasa amat letih untuk berfikir. Haruskah aku menutup lubang-lubang deria ini daripada terus mencerap informasi? Mampukah aku memberhentikan seketika enjin mindaku ini daripada berfungsi? Adakah keletihan ini berpunca daripada kurangnya rehat? Atau jiwakah sebenarnya yang tidak cukup kuat? Apabila cabaran hari demi hari menjadi semakin hebat, batinku pula seakan-akan menjerit melaungkan penat. Penatkah sebenarnya aku? Atau ia sekadar manipulasi lara yang aku tahu sungguh cekal dalam melaksanakan kerja-kerja kelaraannya. Ketika aku gagah untuk merempuh badai, lara mengulikku dengan indahnya pantai lalu aku berundur, tersadai. Bilamana seluruh azamku terkumpul untuk menongkah, lara menunjukkan pula kepadaku bahtera yang pecah, lalu aku berpatah, kalah. Apa yang tidak kena padaku sebenarnya hingga aku begitu lemah untuk menjauhi lara? Dia menjadi raja di dalam diriku, dia mengatur tindak-tandukku, dia membolak-balikkan hatiku. Pada hari yang aku berasa amat letih untuk berfikir, dia berpesta kegembiraan, dia berparti keseronokkan. Lara, adakah kau rasa bahawa engkau telah menang? Jika engkau seperti mana yang engkau dakwa adalah pejuang kepada kerabatmu, maka jangan pula engkau lupa  bahawa aku juga mampu menjadi seorang pejuang yang terbilang. Bila aku menunjukkan isyarat untuk berundur, itu bukan beerti aku kecundang lara, itu bukan bermakna aku kalah, mengundur setapak dua itu adalah untuk kembali menyusun langkah, adalah untuk mengambil lajak, adalah untuk terus mengorak dan melonjak. Jangan kau lupa lara bahawa aku masih lagi berada di dalam gelanggang yang bermakna aku masih lagi sedang berperang. Wahai lara, jika Tuhan mengutusmu untuk menentangku, maka itu bermakna Tuhan menyayangiku, kerana Tuhan mahu membukakan kepadaku seluas-luasnya pintu pahala seorang pejuang.  Ketahuilah lara, keterbilangan seorang pejuang itu adalah pada hebatnya tentangan, adalah pada kuatnya rintangan, bukan pada pedangnya yang tidak pernah jatuh dan lucut di gelanggang. Kau akan ku takluk. ALLAH AKBAR!!

 

Inikah lara?

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...