Budaya memberi hadiah adalah universal yakni ia wujud di semua negara dan diamalkan oleh semua bangsa. Hadiah boleh diberi oleh sesiapa jua kepada sesiapa jua, dalam apa jua bentuk dan rupa, pada bila-bila masa, atas apa jua sebab dan alasan atau boleh juga tanpa sebarang motif. Hadiah boleh diterima daripada seorang yang lebih dewasa atau sebaliknya, oleh lelaki atau sebaliknya, oleh mereka yang berstatus lebih tinggi atau sebaliknya, oleh mereka yang tidak dikenali atau sebaliknya, oleh mereka yang kaya atau sebaliknya, malah oleh sesiapa jua kepada sesiapa jua. Hadiah boleh bersifat konkrit atau abstrak, boleh berupa material atau moral, boleh dilihat dan disentuh atau sebaliknya, malah senyuman dan doa juga boleh menjadi hadiah. Hadiah boleh diberi atas apa jua alasan, kejayaan, kejuaraan, kemenangan, sokongan, motivasi, galakan, rangsangan, ikatan, kegembiraan, kebahagiaan, kepercayaan, malah hadiah juga boleh diberi tanpa sebarang alasan. Namun, hadiah lazimnya dikaitkan dengan kegembiraan atau sesuatu yang berunsur positif.

Apa yang hendak aku nukilkan di sini sebenarnya ialah perbezaan di antara dua budaya, Melayu dan Sepanyol dalam konteks menerima hadiah. Seperti yang telah aku nyatakan di atas, amalan memberi hadiah wujud dalam kedua-dua budaya, malah wujud dalam semua budaya yang ada di dunia ini. Namun, ada sedikit perbezaan dari sudut penerimaan hadiah atau lebih tepat lagi perbezaan dari segi cara penerima menunjukkan penghargaan atau rasa terima kasihnya kepada si pemberi atas hadiah yang telah diterima. Perbincangan ini adalah terhad kepada pemberian hadiah berupa material yang lazimnya dibungkus atau dibalut bertujuan menimbulkan kesan kejutan atau tertanya-tanya di pihak penerima, atau boleh jadi ia dibungkus untuk mengelakkan rasa malu atau rendah diri di pihak pemberi jika hadiah itu tidak seberapa dari segi rupa dan nilai kebendaannya.

Seperti yang diketahui, membuka bungkusan hadiah di hadapan si pemberi dalam budaya Melayu, adalah dianggap sebagai tidak sopan atau tidak beradab. Masyarakat Melayu mengaitkan hal tersebut dengan kegelojohan, kebendaan, ketamakkan, ketidak-sabaran dan seupamanya. Ia bukan sahaja memberi imej buruk kepada penerima hadiah, malah juga boleh mengaibkan pemberi hadiah. Bayangkan, jika si pemberi adalah seorang miskin yang hanya mampu membeli barang murah untuk dihadiahkan kepada si penerima dan hadiah tersebut dibuka di hadapan orang lain termasuk pemberi sendiri, maka keadaan itu boleh mengaibkan pemberi atau boleh membuatnya berasa rendah diri. Membuka hadiah secara terus sebaik berpindah tangan terutamanya dalam majlis yang dihadiri ramai orang adalah amat tidak sopan. Ia tidak lebih dari menunjukkan ketidak-pekaan penerima terhadap perasaan orang lain dan juga seolah-olah seperti hendak membanding-bandingkan hadiah yang diberi oleh seseorang dengan seseorang yang lain. Ia boleh menjatuhkan air muka pemberi. Berbeza halnya dengan amalan yang dilakukan oleh pengantin masa kini yang membuka hadiah-hadiah yang diterima selepas selesai upacara persandingan kerana ia dilakuan setelah kesemua jemputan pulang. Lazimnya ia dilakukan di hadapan ahli keluarga dan sanak saudara terdekat untuk menambah meriahkan lagi suasana.

Namun, keadaan adalah di sebaliknya dalam budaya Sepanyol. Hadiah yang tidak terus dibuka di hadapan pemberi akan melukakan hati pemberi. Masyarakat Sepanyol berpendapat bahawa hadiah perlu dibuka di hadapan pemberi kerana ia melambangkan kepercayaan, penghargaan, kegembiraan, kebahagian, kesyukuran dan seumpamanya di pihak penerima. Seseorang itu akan dianggap tidak sopan dan tidak beradab jika tidak terus membuka bungkusan hadiah sebaik menerimanya daripada pemberi. Jika hadiah tersebut tidak terus dibuka, pemberi akan berasa yang dirinya seolah-olah seperti tidak berharga dan hadiah yang diberi seolah-olah seperti tiada nilainya. Bagi mereka, tergesa-gesa membuka hadiah di hadapan pemberi adalah suatu kemuliaan kerana ia menunjukkan bahawa si penerima begitu gembira hingga tidak sabar-sabar hendak melihatnya. Semakin rakus si penerima membuka bungkusan, semakin si pemberi berasa bangga dan gembira kerana itu menunjukkan yang si penerima begitu menghargai hadiah tersebut dan amat bersyukur menerimanya. Sebaliknya pula, jika hadiah yang diberi itu diletak ketepi atau dibawa masuk ke bilik atau disorokkan dahulu, maka si pemberi akan berasa rendah diri dan keciwa kerana beranggapan ia tidak istimewa dan tidak dihargai oleh si penerima.

Maka, andai suatu hari anda menerima apa-apa hadiah daripada mana-mana orang Sepanyol, maka bukalah bungkusannya cepat-cepat di hadapan si pemberi itu sendiri kerana itulah sebesar-besar penghargaan dan terima kasih yang boleh anda tunjukkan atas kesudian dan susah payah mereka memberikan anda hadiah. Dan apabila tiba giliran anda pula memberi hadiah kepada mereka, janganlah pula terkejut atau berasa pelik jika hadiah itu dibuka dengan gelojohnya di hadapan anda atau orang lain kerana itulah caranya mereka menunjukkan rasa terima kasih dan penghargaan kepada anda yang telah memberikan mereka hadiah.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...