Staf A: Selamat pagi.

Aku: Selamat pagi.

Staf A: Sila duduk.

Aku: Terima kasih (tarik kerusi, satu untuk aku, satu untuk hubby).

Staf A: Ya, ada apa puan ke mari?

Aku: Nak perbaharui kad pengenalan (resident card).

Staf A: Dokumen-dokumennya?

Aku: Ini dia cik (hulur file dokumen)

Staf A: Borang dah isi?

Aku: Dah! Semua ada dalam file tu.

Staf A: (Buka file, periksa dokumen satu persatu).

Aku: (Harap-harap semua dokumen lengkap).

Staf A: Hurm, tak lengkap.

Aku: Aarr?? Apa maksud cik? (keciwa).

Staf A: Ada beberapa dokumen yang tidak dilampirkan.

Aku: Dokumen apa tu? (penuh yakin semua dokumen sudah lengkap).

Staf A: Salinan muka depan buku akaun tidak dilampirkan dan tidak ada letter of repatriation.

Aku: Apa? Tahun-tahun lepas takde diminta pun semua tu?

Staf A: Itu tahun lepas, tahun ni diperlukan semua dokumen tu.

Aku: Syarat berubah setiap tahun ke?

Staf A: Yup, berubah bila ada kepentingan.

Aku: Kenapa tak dihantar surat atau sebarang notis memaklumkan perubahan?

Staf A: Puan kenalah datang bertanya. Pemohon berjuta, takkan nak hantar surat.

Aku: (Aduss, nak datang tanya, macamlah office awak tu sebelah rumah saya)

Staf A: So, puan balik, lengkapkan dokumen dan datang semula.

Aku: Adeh. Ok, apa lagi yang perlu saya bawa? Esok-esok saya datang, ada lagi yang tak lengkap kan. Rumah saya dengan pejabat ni, bukan dekat cik. Dahlah saya takde kereta, mai jalan kaki.

Staf A: Oh ya. Puan juga perlu bawa kesemua anak-anak bersama.

Aku: Aarr?? Bawa semua anak-anak?

Staf A: Yup!

Aku: Biar betul.

Staf A: Betul!

Aku: Ni pun syarat baru ke?

Staf A: Eh, takdelah. Memang kena bawa anak-anak. Sebab puan bukan nak perbaharui kad puan saja kan, untuk seisi keluarga juga, kan? So, semua ahli keluarga kena datang.

Aku: Biar betul. Tahun-tahun lepas tak disyaratkan membawa anak-anak pun. Ibu ayah sahaja yang diwajibkan datang. Budak-budak tu sekolah, kalau dibawa ke sini maknanya mereka kena ponteng sekolahlah? Macam mana tu?

Staf A: Terpaksalah. Kalau tak, kita tak boleh proses permohonan tu.

Aku: Haih, pening saya macam ni.

Staf A: (Angkat bahu sambil memulangkan semula file dokumen kepadaku).

Aku: Terima kasih, adios.

Staf A: Adiós.

 

Seminggu kemudian (setelah semua dokumen lengkap dan setelah berjaya memujuk ketiga-tiga anakku agar ponteng sekolah).

Staf B: Selamat pagi.

Aku: Selamat pagi.

Staf B: Sila duduk.

Aku: (tercengang, kami berlima, kerusi satu)

Staf B: (buat-buat tidak tahu, muka masam kelat).

Aku: Hurmm (duduk, hubby dan anak-anak bediri).

Staf B: Ya, ada apa?

Aku: Perbaharui kad pengenalan.

Staf B: Dokumen?

Aku: Ini dia, semua ada dalam file (hulur file dokumen).

Staf B: (mata melilau memandang anak-anakku)

Aku: (memberi isyarat kepada anak-anakku agar duduk diam-diam).

Staf B: Hurm,tiga-tiga ni anak puan? (masam)

Aku: Yup, anak-anak sayalah (apa kes nak bawa anak-anak orang lak?)

Staf B: Puan tak perlu bawa budak-budak. Dia orang kan sekolah. Mana boleh ponteng sekolah. Puan dengan hubby sahaja datang cukup! (serius).

Aku: Aarrr? Apa??? (hampir pitam, geram).

 

Nota:-

Proses memperbaharui kad pengenalan (resident card) di Sepanyol amat memeningkan kepalaku dan meremuk-redamkan jiwaku. Prosedurnya amat berbelit-belit dan staf-staf di pejabat pendaftaran pula sangatlah tidak mesra alam dan amatlah putar alam.

Untuk tahun 2011, hampir sebulan aku bertungkus lumus menyediakan segala dokumen yang diperlukan untuk permohonan pembaharuan kad tersebut. Bila dah dihantar pada tarikh yang ditetapkan, dikatakan tidak lengkap pula. Ada tambahan syarat baru yang notis pemberitahuannya tidak dikeluarkan atau diwarwarkan. Disuruh pula bawa anak-anak yang mereka tahu bahawa anak-anak itu perlu ke sekolah setiap hari. Telah kupersoalkan tentang suruhan tersebut memandangkan tahun-tahun sebelumnya ia dilakukan tanpa perlu membawa anak-anak, hanya aku dan hubby sahaja yang diminta datang. Namun Staf A telah bertegas mengatakan “perlu”. Bayangkan perasaan aku dan anak-anakku sendiri apabila staf B mempersoalkan aku yang datang dengan anak-anak dengan berkata “tak pelu bawa budak-budak”, setelah aku bersusah payah selama seminggu memujuk anak-anakku dan juga pihak sekolah agar membenarkan mereka ponteng dan ikut aku ke pejabat pendafataran?

Atas ketidak-mesraan alam dan keputar-alaman yang nyata di pihak pejabat pendaftaran Sepanyol, maka aku memberi mereka markah 1 sahaja dari markah penuh 10. Markah 1 itupun, aku berikan kepada tandas mereka yang agak bersih dan tidak berbau. Akan sistem, prosedur dan sikap kakitangan mereka, hampeh!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...