Aku bukanlah seorang penggemar donut. Oleh itu, aku jarang membeli donut kerana memang aku tak teringin pun nak makan donut macam aku teringin nak makan benda-benda lain. Tapi kalau orang bagi free, aku makan aje; Pertama, kerana nak meraikan orang yang memberi, bukankah setiap pemberian itu perlu dihargai? Kedua, selalunya kalau percuma, yang tak sedap pun menjadi sedap, so aku ngggapp aje. Boleh disimpulkan bahawa, selama di tanah air aku memang amat jarang membeli dan makan donut kecuali jika anak-anakku menangis nakkan donut. Itupun jika mereka menangis beria-ria. Kalau sekadar minta biasa-biasa, aku tak akan belikan juga.

Oleh kerana aku ini manusia, maka aku juga tidak terlepas daripada berada dalam fitrah seorang manusia, iaitu; Mendambakan yang tiada dan mengabaikan yang ada. Bila berada jauh begini, terlontar ke negara yang amat asing dalam serba serbinya ini, tiba-tiba aku teringin sangat-sangat pula nak makan donut. Keteringinan itu mengalahkan keadaanku yang mengidam sewaktu mengandung dulu-dulu. Di tanah air, ketika donut berlambak di depan mata, maksudku kedai menjualnya merata dan status halalnya tak perlu ditanya, aku tak teringin pun nak memakannya. Tup, tup di Sepanyol darul jauh ini, aku boleh meroyan nak makan donut. Dari segi nak mendapatkan donut, takde masalah langsung, memandangkan ia dah jadi makanan harian orang-orang di sini, so kedai menjual donut bersepah di sana sini. Masalah besarnya ialah status halam haram donut tersebut.

Namun, kerana kemeroyanan nak makan donut telah sampai ke kemuncaknya, maka pada suatu hari yang damai, aku telah keluar merayau-rayau di kota Valladolid mencari kedai yang ada menjual donut yang halal. Oleh kerana di sini tidak ada makanan yang ditag halal, so aku merancang untuk bertanya tuan punya kedai tentang bahan-bahan yang telah digunakan untuk donutnya. Berdasarkan pengalaman lepas, jika aku bertanya secara langsung, samada ada atau tidak lemak atau minyak khinzir di dalam makanan atau kuih mereka, maka mereka (pekedai bukan Islam) akan bermati-matian mengatakan tidak, walhal ada. Ini kerana soal halal haram bukanlah masalah mereka dan sebagai orang bukan Islam, sudah tentu mereka tidak menjiwai sensitiviti halal haram itu seperti kita, umat Islam. Yang penting, makanan mereka laris. Jadi, macam mana aku nak tahu makanan yang mereka jual itu ada unsur-unsur haram?

 

Pekedai: Hola, selamat pagi.

Aku: Selamat pagi.

Pekedai: Ya puan, nak apa? Roti, donut, kek, pai?

Aku: Hehe (sengeh). Saya tengok-tengok dulu, boleh?

Pekedai: Boleh, silakan. Dah decide nanti panggil saya ya.

Aku: Ok, baik.

Pekedai: (teruskan dengan kerja-kerjanya sambil mata menjeling-jeling ke arahku)

Aku: (mengendap donut dalam cermin, teropong ingredients).

Pekedai: (terbeliak biji mata, panik melihat gelagatku).

Aku: (buat-buat tak tahu, terus mengendap, haih, takdelah pulak ingredients, garu-garu kepala).

Pekedai: Ehem, mm, puan cari apa?

Aku: Oh, hmm, sori, saya tengok semua sedap, so lama sikit ambik masa nak fikir, hehe (alasan).

Pekedai: Takpe, no hal, hehe (gelak kecil). Dah decide ke nak apa?

Aku: Mmm, saya nak beli donut. Tapi sebelum tu saya nak tanya, boleh?

Pekedai: Boleh, takde masalah. Mm, apa tu yang puan nak tahu?

Aku: Mm, ada tak kat sini donut yang bahan-bahannya ada campuran khinzir?  

Pekedai: Oh, ingatkan nak tanya apa tadi (gelak lega).

Aku: Hehe (sengeh), itu je soalan saya. Sebab saya memang mencari donut yang begitu.

Pekedai: Ohh, puan jangan risau, donut-donut kat kedai ni semuanya ada campuran khinzir! (bangga)

Aku: Hahh??? (toinggg!!)

Pekedai: Ya, betul! Kita campur lemak khinzir supaya donut tu sedap dan tahan lama.

Aku: Aarrr?? (geli-geleman)

Pekedai: So, berapa puan nak? Saya bungkus? Atau puan nak makan kat sini?

Aku: Oh, tak, tak payah bungkus. Err tiba-tiba saya rasa tak nak makan donut pulak (sengeh serba salah).

Pekedai: Oh, haha (gelak lucu). Mm, cuba pai? Tapi pai takde lemak khinzir, gandum, telur, lemak sayur dan air je. Mau?

Aku: Aarr? Err, mm, pai tu ada inti ya?

Pekedai: Yup! Inti daging, dan yang itu inti ayam? Sedap, cubalah.

Aku: Aarr?? Ermm, inti ikan takde ke?

Pekedai: Hahahaha (gelak besar). Inti ikan takde puan. Ikan mahal nak buat inti. Hahahaha (sambung gelak).

Aku: Oh ye ke? Hehe (rasa bodoh lak).

Pekedai: Cuba pai ayam, sedap (tangan tunjuk simbol best).

Aku: Ermm, takpelah, saya tak mau (geleng kepala).

Peledai: Nape? Tak suka? Puan macam takut-takut je. Cuba cerita kat saya, acu citer (bersungguh).

Aku: Err, bukan takut. Tak, takde apa-apa sebenarnya.

Pekedai: Aiishh, takkan takde apa-apa. Cuba cerita. Takpe, saya sanggup dengar (ramah terlajaklah pulak).

Aku: Ermm, sebenarnya saya tak makan daging, ayam pun (teragak-agak).

Pekedai: Oo, tu pasallah tanya pai ikan tadi tu ya. Ermm, nape puan tak makan daging atau ayam?

Aku: Sebab saya muslim, say.. (tak sempat habis ayat).

Pekedai: Eh, orang Islam tak makan ayam ke? (hairanlah sangat).

Aku: Eh, makan. Makan!

Pekedai: Dahtu?

Aku: Ermm, tapi kami makan ayam yang disembelih oleh orang Islam sahaja.

Pekedai: Oo, gitu (angguk-angguk kepala). Orang Islam sembelih ayam macam mana ya?

Aku: Kami potong di leher, di tempat tertentu, bla, bla, bla (beria buat demontrasi ayam disembelih).

Pekedai: (terlopong mulut mendengarnya).

Aku: Bla, bla, bla (sambung khutbah).

Pekedai: Oo, gitu (angguk-angguk kepala). Nape ya kena potong camtu?

Aku: Kerana itulah kaedah penyembelihan yang paling tidak menyeksa binatang (yakin).

Pekedai: Oho (tepuk tangan tiba-tiba), kalau macam tu puan takde masalahlah nak makan pai ni, puan boleh beli dan makan! (yakin)

Aku: Aarr?? (garu-garu tudung)

Pekedai: Untuk pengetahuan puan, ayam-ayam ni semua tak disembelih. Mereka dicucuk ubat tidur. So, mereka mati dalam keadaan aman dan tenang. Tiada langsung unsur penyeksaan!

Aku: Kah, kah, kah (gelak guling-guling sampai keluar air mata).

Pekedai: ????????

Aku: Kah, kah kah (cepat-cepat keluar dari kedai).

Nota: Amat susah orang bukan Islam Sepanyol nak faham kenapa orang Islam tidak boleh makan ayam atau daging yang disediakan oleh mereka. Mereka maklum bahawa orang Islam tidak boleh makan babi atau minum arak. Tetapi bila bab daging atau ayam, mereka susah nak terima. Macam-macam dipersoalkan; “Kalau ayam dan daging pun tak makan, habis sumber protein orang Islam, apa? Tak makan ayam dan daging, macam mana nak cukup zat? Macam mana anak-anak nak membesar dengan sihat?” Kalau diterangkan tentang sembelihan pun, bukan mereka faham. Akan ku perihalkan nanti pengalamanku dihidang ayam bakar yang enak oleh tuan rumah yang ku sewa sewaktu aku dan keluarga berkunjung ke rumahnya di Zamora, kira-kira 2 jam perjalanan dari Valladolid.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...