Entah apalah agaknya yang kanak-kanak faham tentang maksud perkahwinan. Adapun konsep perkahwinan dalam konteks anak-anak kecilku ialah; Upacara memotong kek oleh pengantin lelaki dan perempuan di depan pelamin pada hari persandingan. Konsep tersebut terbentuk setelah mereka kerap dibawa ke majlis-majlis perkahwinan yang melibatkan saudara mara terdekat di mana mereka berpeluang berada amat dekat dengan pengantin yang lazimnya akan memotong kek perkahwinan sebaik sahaja selesai bersanding. Kanak-kanak tidak faham tentang akad nikah, malah jika ditunjukkan kepada mereka upacara akad nikah sekalipun, itu tidak akan menarik mereka untuk menghayatinya berbanding upacara memotong kek yang lebih meriah. Pertama, dalam acara memotong kek yang lazimnya direalisasikan di hadapan pelamin, kanak-kanak akan tertarik dengan kek itu sendiri yang dihias dengan amat menarik dan nampak amat menyelerakan. Kedua, mereka tertarik dengan pakaian pengantin yang  cantik dan pengantin itu sendiri yang didandan dan disolek anggun. Ketiga, mereka tertarik dengan pelamin yang dihias indah dengan bunga-bungaan, warna-warna yang ceria dan lampu-lampu yang bergemerlapan. Itu semua lebih menarik perhatian mereka berbanding majlis akad nikah yang berlangsung dalam keadaan lebih sederhana. Akhir-akhir ini pula upacara akad nikah seringkali diadakan di dalam masjid yang agak tidak sesuai untuk kanak-kanak turut serta memandangkan amatlah sukarnya untuk mereka duduk diam dan mendengar kata. Dah namanya kanak-kanak, bukan?

Bertitik tolak daripada konsep perkahwinan yang telah terbentuk begitu, maka pada suatu hari, anak-anakku telah tidak semena-mena mempersoalkan tentang status perkahwinanku. Cara mereka menyoal siasat aku tak ubah seperti pegawai-pegawai JAWI yang menyoal siasat mereka yang ditangkap berkhalwat. Adeh!

Anak: Mama, bila mama nak kahwin?

Aku: Arr? (terpinga).

Anak: Bila mama nak kahwin? (ulang suara).

Aku: Aarr? Kahwin? (korek telinga, takut salah dengar).

Anak: Ya, kahwin! Bila mama nak kahwin? (beriya).

Aku: Aarr? (garu-garu kepala).

Anak: Mama tak dengar ke? Bilaaa naakkk kaaaawinnnnn! (dijeritnya betul-betul di depan telingaku).

Aku: Haisshhhh, senaklah telinga mama camni! (menepis).

Anak: Hehehe, dahtu dari tadi tak jawab-jawab, tak dengarlah tu!

Aku: Apa soalannya tadi? Kahwin? (minta kepastian).

Anak: Ya! Bila mama nak kahwin? (macam polis tanya pesalah).

Aku: Aarr? Kenapa tanya macam tu? (muka pesalah).

Anak: Macam mana ni, anak dah tiga tapi belum kahwin-kawin lagi. Ni bila nak kahwin ni? (soalan pegawai jawi).

Aku: Aarr? Tapi, mama kan dah kahwin! (jawapan pesalah).

Anak: Hah? (terkejut maha badak).

Aku: Betul. Mama dah kahwin!

Anak: Hah? Bila?

Aku: Dululah, masa mama muda-muda dulu.

Anak: Mana ada, kami tak pernah nampak pun!

Aku: Aarr? Tak pernah nampak apa tu? (nerbes).

Anak: Nampak mama kawin la. Tak pernah nampak pun!

Aku: Aarr?

Anak: Mama ni biar betul, tipu ya? (soal siasat makin dahsyat)

Aku: Ehh betul encik, haih, encik lak. Hehe, err, betul, mama dah kawin tau, tolongg (rayu).

Anak: Kalau dah kawin, apa buktinya? (membulatkan biji mata).

Aku: Aarr? Kau oranglah. Kau orang bertigalah buktinya (tersekat-sekat).

Anak: Itulah masalahnya, kita orang tak pernah nampak mama kawin! (geram).

Aku: Aarr? Dah kawin! Betul, mama tak tipu.

Anak: Dengan siapa?

Aku: Aarr? Dengan papa arr ..

Anak: Apa? Dengan papa? (berpaling ke arah papa)

Aku: Ya, papa tu kan suami mama!

Anak: Ya lah, kami taulah papa tu suami mama, tapi bila masanya kawin? Ada pernah kawin? (tambah geram).

Aku: Aarr? Dah, pernah, dah (tergagap).

Anak: Apa dah, dah? (sergahan pegawai jawi).

Aku: Aarr? Dah kawinlah. Dah! (angguk-angguk kepala).

Anak: Mana boleh. Kami tak pernah nampak pun! (serius).

Aku: Aarr? Masa tu, kau orang semua belum lahir lagi, tu pasallah tak nampak.

Anak: Laa, nape kawin masa kita orang belum lahir? Tu la pasal kita orang tak nampak (geleng kepala).

Aku: Aarr? (garu kening).

Anak: Tak aci. Sebab yang itu kami tak nampak. Macam mana kami nak tahu betul ke tidak? (serius).

Aku: Aarr? Dah tu?

Anak: Itulah yang sedang kami tanya, bila mama nak kawin?

Aku: Aarr? Mama kena kawin ke? (huhu nak gelak pun ada).

Anak: Yup! Mama kena kawin secepat mungkin, seeloknya sebelum dapat anak ke empat!

Aku: AARRR??? Aa, aaairr, airrrrrr!!! … (semput).

Anak: (Panik. Berlari ke dapur dan masuk semula ke ruang tamu dengan segelas air), nah mama, airnya. Lepas minum, mama kawin, ek? (sambil menuang air ke mulutku).

Aku: Ouushhhhhh!! (tersembur segala air).

Sahibbul cerita, maka pada malam itu bersandinglah aku dan hubby di pelamin ciptaan kenit-kenit bertiga tersebut. Terpaksalah aku dan hubby “berkahwin” secara paksa rela demi untuk memuaskan hati mereka. Ketiga-tiganya telah menjadi pengapit pengantin yang comel. Namun, “majlis” agak kecoh bila si kenit pertama dan kenit kedua berebut nak jadi mak andam dan tukang kipas. Sebaik majlis selesai, tiba-tiba si kenit kedua berkata; “Tak lengkaplah majlis ni, sebab pengantin tak potong kek!” Jantung aku berdegup laju bila si kenit pertama pula menyampuk; “A´a kan? Tapi takpe, nanti kita suruh mama kawin lagi!”. Aiiyyyy nak kena kawin setiap tahun? Ponat deng!

 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...