Saya amat tidak bersetuju jika dikatakan bidang adalah penentu kepada masa depan seseorang. Saya kuat berpendapat bahawa kegemilangan hidup seseorang itu bukan ditentukan oleh bidang, sebaliknya ditentukan oleh sikap dan pemikiran individu itu sendiri. Jika kita bagus, mempunyai prinsip yang padu dan mempunyai visi dan misi tersendiri untuk dicapai, apa pun jua bidang yang diterjuni akan berakhir dengan kecemerlangan. Bukan pengkhususan yang menempatkan kita samada di tempat mulia atau sebaliknya dalam masyarakat tetapi yang menentukan kedudukan kita adalah jati diri kita sendiri. Setiap ilmu itu ada tempatnya di dunia ini. Memasuki bidang sastera di sekolah atau universiti tidak lebih hina daripada menceburi bidang sains. Malah, ilmu sasteralah (agama, filosofi, bahasa, komunikasi, lingusitik, psikologi dan lain-lain) adalah sebenarnya ilmu asas kehidupan sedangkan ilmu sains dan teknologi itu adalah sampingan semata. Dengan kata lain, ilmu sastera adalah ilmu dasar yang diperlukan untuk hidup, manakala sains dan teknologi adalah ilmu untuk memudahkan hidup atau bersifat pelengkap sahaja. Analoginya, tanpa ilmu agama manusia boleh berbunuhan sesama sendiri tanpa sebab, akan tetapi manusia tetap boleh hidup tanpa teknologi, misalnya tanpa mesin basuh, manusia boleh menggunakan tangan untuk membasuh, tanpa pembersih hampa gas manusia boleh membersih rumah dengan penyapu, bukan? Tanpa bahasa, manusia tidak boleh menyampaikan ilmu dan maklumat kepada orang lain termasuklah dalam bidang sains dan teknologi itu sendiri dengan baik dan jaya. Namun, tanpa komputer, ilmu tetap boleh disebarkan, cuma mungkin lambat. Sebab itu dikatakan sains dan teknologi itu ilmu pemudah kehidupan tetapi bukan ilmu tunjang. Sedangkan ilmu bahasa adalah ilmu tunjang yang jika tiada, komputer pun mungkin tidak berjaya dicipta. Oleh yang demikian, janganlah kita memandang rendah kepada mereka yang bukan daripada aliran sains. Janganlah kita melihat mereka yang berkelulusan dalam bidang sastera itu sebagai hina atau lebih rendah mutunya daripada mereka yang memilih untuk terjun ke bidang yang berstatus sampingan sahaja. Kemajuan sains dan teknologi akhir-akhir ini dilihat memberi kesan lebih buruk daripada baiknya samada ke atas keseimbangan alam secara fizikal maupun keseimbangan penghuni alam secara spiritual. Akhirnya manusia terpaksa jua kembali kepada ilmu-ilmu asas (keagamaan, kemanusian, keinsanan, kejiwaan dan lain-lain) yang telah dipandang rendah dan diperlekehkan sekian lama. Sudahlah dipandang sebelah mata, pendokong-pendokong atau bijak pandai dalam ilmu-ilmu itu juga dipandang tidak seberapa, hingga terlontar soalan begini; “Perlukah biasiswa diberi kepada mereka yang berkelulusan bahasa untuk menyambung pengajian di peringkat PhD? Ilmu bahasa, setakat SPM pun sudah cukup”. Bukankah ilmu itu saling lengkap melengkapi? Adakah tuan berasa darjat tuan itu tinggi hanya kerana tuan beraliran sains sedangkan hari-hari tuan makan ikan yang ditangkap oleh nelayan yang hanya ada ilmu solat lima waktu dan ilmu berkomunikasi dengan laut dan isinya tanpa tahu apa itu sains dan teknologi? Anak-anak tuan belajar mengaji dengan tok guru berkelulusan pondok yang mungkin jahil tentang sains dan teknologi, yang dia tahu hanyalah ilmu mengaji. Adapun tuan seorang saintis, tetapi makhraj huruf pun tidak betul. Barangkali, kerana ceteknya ilmu tuan dalam bahasa itulah yang telah menjadikan tuan, “tidak reti bahasa”. Kerana tuan menyangka ilmu bahasa itu sekadar ilmu belajar membaca, atau ilmu belajar mengeja. Huhu, tak apalah, kerana tuan seorang saintis yang robotik atau pakar ekonomi yang hanya tahu tentang statistik. Tuan tidak tahu apa itu pragmatik, tuan tidak arif tentang pragmalinguistik, tuan tidak faham apa itu psikolingustik, tuan jahil tentang sosiolinguistik, kerana selama ini tuan terkurung dalam kefahaman ilmu tuan yang sempit dan fanatik.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...