Fenomena “Air Muka” (Face) telah dicetuskan oleh Brown dan Levinson (1978) berdasarkan “Teori Air Muka” (Theory of Face) yang telah diperkenalkan oleh Goffman (Goffman´s Notion of Face, 1967). “Air Muka” (Face) merujuk kepada keinginan atau kecenderungan seseorang untuk memelihara atau menjaga air mukanya sendiri atau air muka orang lain dalam komunikasi linguistik. Menurut Brown dan Levinson, air muka terbahagi kepada dua iaitu air muka positif (positive face) dan air muka negatif (negative face). Air muka positif merujuk kepada keinginan untuk dipandang mulia manakala air muka negatif merujuk kepada kemahuan untuk tidak dihalang tindakan.

Keperluan untuk menjaga air muka mendorong manusia untuk mempraktikkan ketidak-langsungan (Indirectness), lalu mendorong pula mereka untuk mengaplikasikan strategi-strategi linguistik untuk menunjukkan kesopanan (Linguistic Politeness Strategies, Brown dan Levinson, 1978). Ia boleh difahami menerusi kerangka di bawah:-

Air muka

(keperluan untuk menjaga air muka sendiri atau orang lain)

Ketidak-langsungan

(tidak mahu mengungkap secara langsung)

Strategi Kesopanan Lingusitik

(pilihan perkataan dan ayat tertentu untuk menyerlahkan kesopanan)

 

Contoh dalam situasi:-

Lokasi: Di dalam bilik di sebuah asrama.

Laila: Ishhkk laptop aku rosak arr, camne nak taip assigment ni, besok nak hantar.

Wani: Mmm, aku pun nak hantar besok gak, banyak lagi nak taip ni.

Keterangan:-

Laila berhasrat untuk meminjam laptop Wani kerana laptopnya dimasuki virus. Demi untuk menjaga air mukanya dan juga air muka Wani, Laila telah memilih untuk mengemukakan permintaan secara tidak langsung (indirect request). Laila telah menggunakan “Mild Hint” sebagai strategi untuk memperoleh apa yang diharapkan.

Wani tidak mahu meminjamkan laptopnya kepada Laila. Sungguh pun begitu, Wani tidak mahu air mukanya dan air muka Laila terjejas. Seperti juga Laila, Wani memilih untuk menolak secara tidak langsung (indirect refusal). Wani telah menggunakan strategi “Request for Empathy” untuk membuat penolakan.

Kedua-dua pihak telah memilih lakuan tuturan tidak langsung (indirect speech acts) dan strategi-strategi tertentu (Mild Hint dan Request for Empathy) untuk menjaga air muka masing-masing.

 

Nota:

1. Kesopanan Linguistik (Linguistic Politeness) merujuk kepada kata-kata atau bahasa yang digunakan untuk menunjukkan kesopanan.

 2. “Mild Hint” adalah salah satu strategi permintaan (request strategies) usulan Blum-Kulka (1989).

3. “Request for empathy” adalah salah satu strategi penolakan (refusal strategies) dalam kodifikasi penolakan oleh Beebe et al. (1990).

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...