Suatu hari di musim panas, orang Sepanyol telah mengajakku berpiknik di tepi kolam renang. Sehari sebelumnya, dia telah memaklumkan kepadaku bahawa aku perlu memakai pakaian yang sesuai untuk ke kolam renang. Lantas aku memberitahunya bahawa jika aku disyaratkan untuk memakai pakaian mandi atau bikini maka memang aku tidak akan pergi kerana jika dikerat dua sekali pun tubuhku aku tidak akan memakainya. Oleh kerana dia tetap mahu aku pergi maka dia pun berkata; Okey, awak tidak perlu memakai baju mandi atau bikini, pakailah sebagaimana yang awak suka tapi biarlah sesuai dengan suasannya yang berdekatan kolam renang (di Sepanyol ada banyak kolam renang terbuka di taman-taman yang berpagar yang disediakan untuk orang ramai mandi manda di musim panas; telah menjadi budaya di sini apabila masuk sahaja spring maka mereka akan berduyung-duyung ke kolam renang untuk berendam bagi menyejukkan badan). Aku menjawab; Okey, saya akan pergi dengan memakai apa yang awak lihat saya pakai hari-hari, jika tidak saya tidak akan pergi. Dengan muka berkerut orang Sepanyol itu menjawab; Okey lah, pakailah apa saja yang awak suka!

Tiba di kawasan kolam renang, dari pintu pagar taman hingga ke tempat di mana aku dan orang Sepanyol itu menghampar tikar untuk duduk, setiap mata yang ada memandangku rakus. Ye lah, aku lah satu-satunya manusia yang mengunjungi kawasan kolam dengan memakai baju berlengan panjang dan bertudung litup. Dalam hatiku berkata; Ah pedulikan, biar mereka tahu bahawa menjadi orang Islam tidak menghalang kita untuk bersosial, asalkan dilakukan dalam keadaan yang dibenarkan. Biar mereka tahu bahawa orang Islam tidak perlu bertelanjang untuk ke kolam renang.

Sebaik tiba di tempat di mana kami putuskan untuk duduk dan piknik iaitu di bawah bayang-bayang pepohon rendang dan rumput yang hijau indah, dan tikar untuk duduk telah dihampar, orang Sepanyol dan anak-anaknya sibuk menukar baju, dari baju santai biasa ke baju mandi ala-ala bikini. Anak-anakku juga sibuk menukar baju ke baju mandi yang sopan. Aku, duduk santai di atas tikar sambil membuka bekalan makanan dan mula mengunyah biskut-biskut yang dibawa. Semakin banyak mata-mata yang memerhatikanku dan aku berlakun seolah-olah tidak ada apa yang berlaku dan berlagak selamba walaupun sebenarnya aku agak rimas diperhatikan begitu. Bagi mereka, adalah amat pelik apabila ada orang memasuki kawasan kolam renang dengan memakai baju lengkap apatah lagi siap bertudung.

Ketika anak-anak orang Sepanyol itu dan juga anak-anakku sendiri sibuk mandi manda di kolam, orang Sepanyol mengambil kesempatan untuk berbual-bual denganku di atas tikar piknik. Dia berada dalam posisi meniarap dalam keadaan memakai baju mandi manakala aku pula duduk bersila sambil makan kacang. Maka, berlakulah dialog di antara dia dan aku seperti di bawah:-

Orang Sepanyol: Awak agama apa? Dah lama saya nak tanya.

Aku: Saya beragama Islam.

Orang Sepanyol: Islam? Agama nabi Muhammad? (aku agak terkejut apabila dia tahu tentang nabi Muhammad).

Aku: Ya, agama nabi Muhammad, awak kenal nabi Muhammad? Adakah awak juga Islam?

Orang Sepanyol: Eh tidak, Saya beragama Kristian tapi saya banyak membaca cerita yang dikaitkan dengan nabi Muhammad. So, adakah awak berpuasa dan membaca Quran seperti yang Muhammad ajarkan itu? (aku terkejut lagi, dia tahu tentang puasa dan Quran).

Aku: Ya, saya berpuasa di bulan Ramdhan dan membaca Quran, tetapi itu bukan suruhan Muhammad, itu adalah suruhan Allah, Muhammad menyampaikannya sahaja kepada umat manusia.

Orang Sepanyol: Awak mempercayai Muhammad? Awak yakin Muhammad itu benar?

Aku: Ya, orang Islam wajib mempercayai Muhammad dan mempercayai kebenaran yang disampaikannya.

Orang Sepanyol: Saya tertarik dengan ajaran Islam tetapi saya tidak mempercayai Muhammad.

Aku: Mengapa begitu? Mengapa awak tidak mempercayai Muhammad?

Orang Sepanyol: Islam nampak seperti mengajar sesuatu yang betul, tetapi Muhammadlah yang mengajar benda-benda yang salah. Muhammadlah yang banyak merosakkan Islam itu sendiri (dalam hatiku berkata; oh yakinnya dia bercakap seolah-olah dia lebih tahu dari penganut Islam sendiri).

Aku: Boleh awak terangkan lebih lanjut mengapa awak menuduh Muhammad begitu? Kerana dalam Islam, tidak mempercayai nabi Muhammad sama lah juga seperti tidak mempercayai Allah sebagai Tuhan.

Orang Sepanyol: Saya ada membaca sebuah buku yang ditulis oleh seorang perempuan Islam Somalia. Buku itu menceritakan tentang penderitaan perempuan tersebut yang terpaksa tunduk pada kehendak keluarganya yang kuat mengamalkan ajaran nabi Muhammad. Antaranya ialah, bapanya telah memaksa dia berkahwin dengan lelaki yang tidak disukainya ketika dia berumur 12 tahun. Dan yang lebih keji ialah sebelum dia dikahwinkan secara paksa, bibir farajnya telah digunting kemudian dijahit agar suaminya berasa nikmat yang teramat di malam pertama perkahwinannya. Perempuan itu telah menderita zahir dan batin apabila pada malam pertama tersebut dia telah mengalami kesakitan yang amat sangat di bahagian farajnya malah telah berlaku pendarahan teruk tetapi si suami dan keluarganya sendiri telah tidak mengendahkannya dan mengatakan bahawa itu adalah perkara biasa (aku terlopong mendengarnya, ralit, dan orang Sepanyol meneruskan ceritanya dengan bersemangat). Setelah beberapa tahun dia dijadikan hamba oleh suaminya sendiri, pada suatu hari perempuan tersebut telah berjaya melarikan diri dari rumah suaminya seterusnya melarikan diri ke sempadan negara hingga dia diselamatkan oleh pihak gereja dan dihantar berlindung di Belanda. Di sana, dia telah dipelihara dan dijaga oleh pihak gereja hingga dia pulih dan mampu berdikari. Di Belanda beliau telah menerima ancaman bunuh dari puak pelampau Islam hingga akhirnya beliau dilarikan ke Amerika Syarikat dan dilindungi oleh negara tersebut pula. Di Amerika Syarikat beliau telah berjuang untuk membela nasib wanita-wanita Islam Somalia dan juga berjuang untuk kebebasan wanita Islam seluruhnya. Akhirnya beliau telah diangkat menjadi senator di dalam parlimen Amerika Syarikat dan dari situ beliau semakin aktif memperjuangkan hak-hak wanita dalam Islam. Sehingga kini beliau masih beragama Islam dan terus lantang berjuang untuk keadilan bagi perempuan Islam. Awak lihat, betapa kejamnya nabi Muhammad mengajar penganut Islam untuk melakukan perkara-perkara yang tidak masuk akal begitu (merujuk kepada kawin paksa dan faraj di jahit). Sebab itu saya kata, Islam itu okey tetapi ajaran Muhammadlah yang telah memesongkan Islam.

Aku: Wahai kawanku, dengar, saya adalah seorang Islam yang bukan memilih untuk menganut agama Islam ketika saya berumur belasan tahun atau puluhan tahun, tetapi saya memang dilahirkan Islam, ibu bapa, nenek moyang dan keturunan saya kesemuanya adalah beragama Islam. Saya lahir di sebuah negara yang agama rasminya adalah agama Islam dan pemimpin utamanya adalah seorang Islam. Saya adalah seorang perempuan. Jika benar, Muhammad mengajar begitu dan ia adalah ajaran Islam, maka sudah tentu saya, ibu saya, nenek-nenek dan moyang-moyang perempuan saya juga akan mengalami pengalaman yang serupa iaitu digunting bibir faraj, kemudian dijahit semula dan dikahwinkan secara paksa. Saya malah tidak pernah mendengar amalan itu dilakukan oleh sesiapa pun di dalam Islam. Saya berpendapat dan percaya bahawa apa yang dialami oleh perempuan Somalia tersebut sebagaimana yang diceritakan di dalam bukunya adalah amalan-amalan kaum tertentu atau etnik tertentu di negara mereka yang kebetulannya beragama Islam. Saya sama sekali menyanggah atau tidak bersetuju jika dikatakan ia adalah ajaran nabi Muhammad atau Islam. Nabi Muhammad tidak mengajar begitu malah ia juga tidak tertulis di dalam Quran. Buktinya, adalah diri saya sendiri yang tidak pernah mengalami pengalaman yang serupa.

Orang Sepanyol: Benarkah? Faraj awak tidak pernah digunting kemudian dijahit?

Aku: Tidak sama sekali! Bukan saya sahaja malah semua perempuan Islam tidak pernah mengalami itu (walaupun dalam Islam ada khatam untuk perempuan tetapi saya sengaja tidak mahu menceritakan kepadanya tentang hal itu bagi mengelakkan dia lebih keliru dan salah sangka).

Orang Sepanyol: Tetapi dalam Islam, perempuan sentiasa ditindas, lelaki adalah dominan dan ini tidak adil. Perempuan sentiasa perlu tunduk pada lelaki dan dinafikan hak dan kebebasan untuk berbuat apa yang mereka suka.

Aku: Tidak benar sama sekali! Malah perempuan mempunyai tempat yang amat mulia di sisi Islam, hingga Syurga pun diibaratkan berada di bawah telapak kaki seorang perempuan, iaitu ibu.

Orang Sepanyol: Tetapi sistem di negara-negara Islam menindas kaum perempuan, lihat di Somalia, perempuan mereka tidak dibenarkan bersekolah tinggi-tinggi, dinafikan hak mereka untuk memperolehi pendidikan yang secukupnya.

Aku: Apa yang berlaku di Somalia tidak boleh digeneralisasikan sama sekali ke seluruh negara-negara Islam yang lain. Seperti yang telah saya katakan sebelum ini, barangkali itu cuma amalan-amalan etnik kaum mereka, bukan amalan berdasarkan ajaran Islam. Jika benar Islam menindas wanita, sudah tentu saya tidak akan berada di sini, piknik bersama-sama awak di tepi kolam renang ini, bersembang mesra di atas tikar ini.

Orang Sepanyol: Ermm, tidak ada langsungkah penindasan ke atas wanita di negara awak?

Aku: Tidak ada sama sekali! Kalau ada pun ia bukan dari ajaran Islam atau nabi Muhammad, ia berlaku kerana kelemahan dan kejahilan individu yang kebetulannya beragama Islam. Bukan agama yang salah, tetapi penganutnya.

Orang Sepanyol: Awak datang ke mari, siapa yang hantar?

Aku: Dengar, agama rasmi negara saya adalah Islam, pemimpin utama adalah Islam. Jika Islam menindas wanita, tidak mungkin saya diberikan jawatan tinggi dalam kerajaan malah diberi biasiswa pula untuk ke Sepanyol ini menyambung pelajaran. Sedangkan suami saya hanya mempunyai ijazah pertama, saya pula diberi biasiswa untuk membuat PhD. Jawatan suami saya lebih kecil dari jawatan saya. Dalam rumahtangga kami, saya berhak untuk menyuarakan apa yang saya rasa benar, malah dalam banyak keadaaan suami menyerahkan kepada saya untuk membuat keputusan, atau dengan kata lain saya lebih dominan terutamanya dalam hal-hal yang suami kurang arif seperti menentukan hiasan dalam rumah, perbelanjaan keluarga, pendidikan anak-anak dan sebagainya. Tidak timbul langsung penindasan. Malah saya berasa amat selamat menjadi seorang wanita Islam kerana Islam mengajar bahawa isteri adalah di bawah kewajipan seorang suami untuk menyara dan melindunginya. Kerana itu juga suami saya diberi cuti walaupun tanpa gaji untuk mengikut saya ke mari agar beliau boleh melindungi dan menjaga saya, bukan menindas!

Orang Sepanyol: Mengangguk-nganggukkan kepala dengan muka yang berkerut. Entahlah, tetapi apa yang ditulis oleh perempuan Somalia itu di dalam bukunya amat memberi kesan kepada saya.

Aku: Buku itu bukan satu-satunya buku yang ada di dunia ini. Awak patut membaca lebih banyak buku terutamanya buku-buku tentang kejayaan wanita-wanita Islam di dunia. Sambil berseloroh aku berkata; Nantilah bila buku tentang kejayaan saya siap suatu hari nanti, saya akan hadiahkannya kepada awak untuk dibaca. Hayatilah, dan awak akan nampak betapa indahnya Islam dan betapa benarnya Muhammad.

Orang Sepanyol: (senyum), eh dah lama budak-budak tu kat dalam kolam sana, saya rasa eloklah saya pergi menjenguk mereka sambil saya pun nak mandi manda juga.

Aku: Silakan kawan, jangan lupa tolong tengokkan anak-anak saya sekali (oleh kerana aku tidak mengenakan baju mandi atau bikini maka aku dilarang daripada mendekati kolam renang, hanya duduk-duduk di atas tikar di bawah bayang pokok dari kejauhan sahaja).

Dari celah-celah dedahan pohon ku lihat balam-balam matahari terik dan aku nampak seolah-olah matahari tersenyum padaku. Terima kasih Tuhan atas kurnian pengalaman yang berharga ini. Moga aku terus diberi kekuatan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...