Lakuan tuturan (Speech acts) ialah perkara-perkara yang dilakukan dengan perkataan ketika ia diucapkan (Austin, 1962). Contohnya, membuat permintaan, menolak permintaan, memuji, memohon maaf, menyapa dan sebagainya. Konsep lakuan tuturan mula-mula diperkenalkan oleh dua orang ahli filosofi Inggeris yang tersohor iaitu Austin (1962) dan Searle (1969). Austin (1962), dalam suatu syarahan kepada para pelajarnya telah menegaskan bahawa; Ketika kita sedang memperkatakan sesuatu, dalam masa yang sama kita sebenarnya sedang melakukan sesuatu dengan kata-kata tersebut. Pemikiran Austin tersebut telah mencetuskan fenomena dalam bidang pragmatik di mana ia telah membuka jalan kepada linguis-linguis (ahli-ahli lingustik) selepasnya untuk menjalankan pelbagai kajian ke atas gelagat lakuan tuturan. Searle (1969), seorang lagi ahli filosofi Inggeris yang masyhur telah memurnikan teori Austin itu dengan mengemukakan beberapa usulan baru dan mengatakan bahawa; Lakuan tuturan, dan bukan perkataan, adalah asas dalam sesuatu komunikasi.

Makan, adalah perbuatan yang tidak berlaku dengan hanya seseorang itu menyebut “makan´´. Sebaliknya, ia berlaku apabila berlaku tindakan-tindakan seperti; memasukkan makanan ke dalam mulut, mengunyah dan kemudian menelannya. Berbeza dengan perbuatan memuji yang berlaku hanya menerusi kata-kata. Pujian adalah perbuatan yang berlaku ketika ia disebut sedangkan makan adalah perbuatan yang berlaku apabila berlakunya aksi-aksi seperti yang telah disebut di atas tadi.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...