Masyaallah, empat hari terbaring di katil buat aku sedar akan pentingnya menjaga kesihatan diri dan menghargai waktu sihatku. Alhamdulillah hari ke lima aku sudah boleh bangun, sudah boleh ke dapur, sudah boleh bukak buku dan baca sikit-sikit.

Ya, ada orang kata demam itu perlu kerana ia ibarat proses membuang minyak hitam dari sebuah kereta. Bila demam, segala atau sebahagian toksin dalam badan akan dikeluarkan, dikumuhkan menerusi proses menggigil, berpeluh dan sebagainya. Demam juga adalah waktu untuk segala enjin-enjin dalaman kita berehat, ye lah bila kita lesu dan lemah maka kita hanya akan terbaring di katil sahaja lalu ketika itulah enjin dalaman kita berpeluang untuk berehat buat seketika setelah setiap hari ia digunakan untuk pelbagai aktiviti. Untuk hidup sihat, seseorang itu perlu demam sekurang-kurangnya sekali setahun. So, janganlah risau jika hanya demam biasa, demam yang bukan implikasi kepada sakit-sakit dalaman yang lain. Sebaliknya, kita harus berasa runsing jika bertahun-tahun kita hidup tanpa demam, kerana mungkin itu menunjukkan yang sistem tubuh kita telah tidak bertindak balas dengan sempurna atau dengan baik dengan persekitaran kita. Mungkin ada enjin di bahagian dalam yang rosak atau tidak lagi berfungsi.

Demam juga adalah peluang yang Allah bagi percuma untuk kita memuhasabahkan diri kita. Antaranya, ia membuatkan kita berasa menyesal kerana telah gagal menjaga kesihatan dengan baik ketika sebelum sakit. Ketika terbaring lesu, baru kita teringat akan banyak lagi benda yang belum kita buat dan lakukan atau telah dibuat tetapi belum selesai. Maka timbulah rasa menyesal atas kealpaan kita untuk mengambil atau menggunakan sepenuhnya kesempatan yang Allah bagi di waktu sihat untuk menyempurnakannya. Ketika sihat kita mungkin bertangguh itu ini, bertangguh untuk menyiapkan itu dan ini. Bila sakit mula kita terfikir; Ahh, napelah masa sihat hari tu aku tak buat cepat-cepat, tak siapkan betul-betul, kalau tak, ia mungkin dah selesai, ni sakitlah pulak! Bila otak tidak tenang menghadapi keadaan badan yang tidak sihat, kita akan menjadi semakin lesu dan tidak bermaya.

Ya, setiap yang Allah timpakan atau kurniakan pada kita itu sebenarnya mengandungi sejuta hikmah, yang nyata maupun yang tersembunyi. Antara hikmah yang akal kerdilku sebagai hamba mampu memikirkannya di sebalik musibah demam ini ialah;

1) Usahakan agar segala kerja dibereskan ketika masih sihat.

2) Jaga kesihatan diri, makan yang sihat-sihat sahaja, rehat cukup dan tenang-tenangkanlah diri.

3) Kasih sayang dan kesetiaan keluarga (suami dan anak-anak) teruji dan terserlah ketika kita sakit.

4) Rehat yang panjang dari menyentuh bab-bab pelajaran telah mendatangkan rindu yang mendalam untuk kembali  fokus pada pengajian dengan baik.

Alhamdulillah, aku sudah semakin sihat dan sudah tidak sabar-sabar hendak meneruskan penulisan tesisku dan menyelesaikan bahagian-bahagian yang masih belum selesai. Terima kasih Tuhan kerna memberikan aku signal atau amaran ini. Sesungguhnya Engkau wahai Tuhan, amat sayang padaku!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...