Oh sudah dua hari bermula semalam saya demam. Tidak pasti puncanya, adakah terkena virus selsema kerana tekak amat perit dan kerap bersin? Atau demam kerana urat-urat atau otot-otot yang bengkak kerana terlalu ghairah bersukan tanpa terlebih dahulu melakukan warm-up yang mencukupi?

Kenapa tiba-tiba saya bersukan? Ceritanya begini; Kebelakangan ini atau sejak dua, tiga bulan ini badan saya amat tidak cergas hingga saya sering lesu dan tertidur di sofa hampir setiap petang. Kalau sekadar tertidur untuk recharge tenaga tidak mengapa, tetapi keadaan amat pelik apabila sekali saya tertidur saya tidak akan berjaya bangun lagi hingga ke besok pagi. Saya mula perasan saya terkena badi itu sejak saya datang ke Spain. Dahulu, saya tidak pernah begitu. Malah, saya adalah seorang yang amat benci tidur di siang hari terutamanya di sebelah petang.

Bayangkan berapa banyak masa yang terbuang begitu sahaja akibat daripada keadaan saya yang begitu. Tidur dari petang hingga ke pagi mengalahkan bayi kecil. Seringkali keesokkan harinya badan saya menjadi bertambah lesu dan tidak bermaya, mungkin akibat terlebih tidur. Oleh itu saya fikir, saya perlu melakukan sesuatu untuk mengelakkan diri saya daripada tertidur sebegitu rupa lagi. Lantas, saya terfikir untuk bersukan. Saya mengambil keputusan untuk bermain badminton kerana antara sekian banyak sukan, badminton adalah satu-satunya sukan yang saya boleh bermain dengan baik dan saya amat meminatinya.

Setelah keputusan dicapai, saya terus ke kedai sukan berdekatan, membeli segala peralatan yang diperlukan (banyak jugalah duit yang habis) dan hari pertama saya mulakan dengan membuat latihan-latihan fizikal di gim terbuka di kawasan belakang penempatan saya. Di sepanyol, kita tidak perlu berhabis duit untuk menjadi ahli gim demi untuk menggunakan segala peralatan senaman di situ kerana terlalu banyak disediakan gim-gim terbuka untuk orang ramai bersenam tanpa mengira jantina, usia dan status. Bolehlah disimpulkan bahawa negara sepanyol adalah negara yang amat mesra kesihatan.

Saya membuat segala latihan fizikal tanpa mendapatkan nasihat dari sesiapa terlebih dahulu. Kerana terlalu ghairah dek sudah lama tidak bersenam, sekali ke gim saya all out melakukan segala senaman, dari angkat berat, berkayuh, dan segala bagai. Pada hari pertama melakukannya saya masih okey, rasa segar dan sihat semacam. So saya fikir, rancangan saya sudah berjaya dan hasrat saya untuk menjadi cergas akan tercapai.

Seterusnya hari kedua saya mula bermain badminton. Siapakah lawan saya? Sudah tentu lah tiada lain tiada bukan kekasih hati saya sendiri. Memang saya ada buat warm-up sebelum bermain tetapi saya dan kekasih yang agak jahil bab-bab bersukan ni telah melakukannnya dengan kadar yang amat sedikit, ternyata ia tidak mencukupi untuk suatu permainan berat yang dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh seperti badminton. Saya berlawan sesungguh hati, menggunakan seluruh tenaga yang saya ada, dan ia ibarat kambing yang terlepas kandang kerana setelah dua tahun lebih saya berada di sini, itulah sebenarnya pertama kali saya bersukan. So saya main gila-gila hingga akhirnya muncul juara apabila berjaya menewaskan lawan saya itu dengan beberapa set (adalah dalam 7 set kami main, aiyoo).

Lepas main saya buat regangan di gim terbuka dan saya amat yakin ketika itu yang saya akan memiliki badan yang amat cergas, seterusnya boleh menumpukan pada pelajaran dengan baik. Dalam perjalanan pulang ke rumah saya rasa okey, menambahkan lagi keyakinan bahawa segalanya akan okey. Namun sebaik tiba di rumah terutamanya selepas mandi, saya berasa amat sakit di seluruh badan terutamanya di bahagian bahu dan tangan kanan yang telah digunakan untuk memegang dan menghayun raket. Oh sakitnya tidak tertahan lalu saya terus tarik selimut, baring dan tidur dalam keadaan langsung tidak memperdulikan pelajaran.

Saya bertekad akan terus bermain dan yakin sakit-sakit itu akan beransur hilang jika saya teruskan dengan semangat untuk bersukan. Keesokkan harinya, saya ke gelanggang lagi dan bermain bersungguh-sungguh, gila-gila sama seperti sebelumnya dan ternyata kejuaraan masih berpihak kepada saya. Selesai bermain seperti hari sebelumnya saya membuat regangan di gim terbuka. Kali ini agak keras, dengan mengangkat berat dan regangan di bahagian perut dan segala bagai. Pada masa itu saya lupa yang saya ini ada sejarah operation, ye lah macam yang saya tulis di atas tadi, saya ibarat kambing yang terlepas kandang.

Malamnya, saya mula berasa sakit, perit, pedih dan ngilu-ngilu di bahagian pembedahan. Saya tertanya-tanya adakah selepas empat tahun pembedahan itu berlaku, kita masih tidak boleh melakukan sukan berat? Oh saya tidak pasti, yang pasti malam itu saya rasa ada benda keras timbul di bahagian parut pembedahan dan saya mula rasa takut. Oleh kerana keluarga jauh untuk mengadu dan berbincang, saya mengambil keputusan untuk tidur sahaja bagi menghilangkan rasa bimbang dan takut yang diharap-harap akan ditelan oleh mimpi indah. So malam itu sekali lagi saya tidur tanpa sedikit pun memperdulikan pelajaran. Hari ini saya demam dan saya masih bimbang adakah ia kesan bersukan yang memberi kesan pula kepada bekas pembedahan yang telah berusia empat tahun itu? Entah, hanya Allah yang maha mengetahu. Yang pasti hasrat untuk memiliki badan cergas dan minda pantas belum kesampaian kerana saya terpaksa berehat pula mungkin seminggu kerana demam ini. Apapun, yang pasti, ada hikmah dari Allah yang saya tahu Allah amat mengasihi saya. Terima kasih Allah!

Ditulis di dalam FB pada 17 hb. Julai 2010, di hari lahirku.

13 & 14 hb. Julai, Insyirah beria-ria minta duit daripada mama. Bila ditanya untuk apa, rahsia katanya. Oleh kerana tidak diberitahu tujuannya, mama jawab, no! Dia berlalu hampa. 15 & 16 hb. Julai, sekali lagi dia bersungguh-sungguh minta duit, bila ditanya untuk apa, jawapannya serupa, rahsia, maka jawapan mama pun sama, no! Dia berlalu, kali ini lebih hampa.

17 hb. Julai, pagi, mama terkejut bila Insyirah dan dua adiknya menjerit serentak; Cumpleaños feliz mamá, te queremos mucho (selamat hari lahir, mama, we love u so much), atas meja ada roti yang ditindan, konon-kononnya kek, dan ada kad yang mereka buat sendiri, tertulis; Mamá, feliz cumpleaños. Bila mama tanya, mana hadiah untuk mama? Insyirah tiba-tiba sebak dan berkata; Itulah mama, acap kali kakak minta duit nak beli hadiah, mama tak kasi. Mama jawab; Laaa nape tak cakap nak beli hadiah, kalau cakap mesti mama kasi. Respon Insyirah; kalau beritahu, tak suprise lagilah, kami nak buat sambutan hari lahir yang special untuk mama.

Aku lihat di kelopak mata Insyirah ada manik-manik kaca, manakala dari kelopak mataku, keluar bertaburan manik-manik itu ke lantai. Terima kasih anak-anakku, mama sayang padamu, roti dan kad ini adalah hadiah hari lahir TERINDAH buat mama.

Dari celah jendela ku lihat matahari tersenyum, terima kasih Tuhan, kerna masih menyayangi ku.

 

Adat dalam komunikasi, jika kita hendak berhenti harus diberi isyarat atau kata2 akhir seperti; okey ya saya pergi dulu, maaf ya saya ada kerja sikit, sori saya agak sibuk, esok kita sembang lagi, atau setidak2nya bohong sunat seperti; eh line tak clear la, saya tak dengar la dan sebagainya. Berhenti tanpa isyarat adalah tidak beradat! Sama seperti peraturan dalam pemanduan. Di jalanraya, berhenti secara tiba-tiba atau berhenti mengejut tanpa terlebih dahulu memberi isyarat lampu adalah menyusahkan dan boleh menyebabkan kemalangan berlaku termasuk kemalangan jiwa.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...