Hari ini hujan, saya tidak dapat turun menangkis. Tetapi tidak mengapa, ada banyak perkara lagi yang boleh saya tangkis di dalam rumah ini. Menangkis rasa malas adalah perkara pertama yang harus dilakukan. Kedua, menangkis ketagihan pada hal-hal yang mengalpakan. Ketiga, menangkis rasa marah apabila kehendak tidak dituruti dan keinginan untuk rehat dicabuli. Keempat dan keseterusnya adalah menangkis segala yang bertag negatif, yang buruk, yang teruk, yang namanya kawan-kawan makhluk terkutuk. Yah, hidup perlu sentiasa menangkis, jika tidak, tersungkurlah kita kecundangan kepada hawa nafsu sama seperti kecundangnya pemain yang kalah dalam perlawanan bulu tangkis!

Sesungguhnya jika kita bersih dan bebas daripada melakukan perkara-perkara jijik seperti yang didakwa orang lain adalah mustahil atau susah untuk kita diperangkap oleh sesiapa pun. Mustahil perlakuan tidak senonoh kita boleh dirakam andai ia bukan habit hidup kita. Andai rakaman itu adalah suatu konspirasi atau rancangan jahat pihak lawan, paling busuk pun pihak yang merancang konspirasi hanya berkemungkinan berjaya memerangkap kita berkhalwat atau berdua-duan dengan bukan muhrim di dalam bilik sahaja. Tidak akan sampai ke tahap berjaya merakam aksi-aksi biru kita. Sekalipun dipujuk atau digoda oleh orang yang mungkin telah diupah atau menjadi agen pihak lawan, kita pasti tidak akan melakukannya jika kita bukan pengamal amalan-amalan kotor tersebut. Jika seorang perempuan mendakwa tidak tahu menahu tentang apa yang berlaku kerana telah diberi minuman berdadah atau pil tidur terlebih dahulu, ia boleh diterima. Perempuan boleh diperkosa atau diperlakukan apa sahaja dalam keadaan dirinya terlentang tidak sedarkan diri. Akan tetapi, dalam konteks seorang lelaki adalah tidak masuk akal untuk mendakwa; telah dikhayalkan oleh apa jua bahan hingga tidak sedarkan diri, apabila aksi-aksi dalam rakaman jelas menunjukkan yang ia telah dilakukan dalam keadaan sedar atau sengaja. Adakah ia berlaku dalam kondisi diri disihir? Lalu, siapakah pula yang telah memulihkan dirinya kembali daripada sihir tersebut setelah aksi-aksi mual itu selesai dilakukan? Jika kita seorang yang benar-benar bersih, selicik dan sebijak mana pun pihak musuh merancang untuk menampakkan kita kotor di mata umum, ia tidak akan berjaya kerana kita sememangnya bersih. Sebaliknya, jika kita memang pengotor maka mudahlah pihak musuh memanipulasikan kekotoran itu untuk menjatuhkan kita. Baguslah jika ada pihak yang berusaha untuk membasmi kekotoran itu sebelum kuman dan fungusnya berjangkit kepada tubuh badan orang lain.

Orang yang tidak berasa semakin bodoh setelah semakin banyak dia membaca adalah sebenarnya orang yang tidak memperoleh apa-apa daripada bacaannya itu. Tujuan membaca adalah untuk mengetahui apa yang belum diketahui atau memantapkan apa yang telah diketahui. Berasa “bodoh´´ adalah “signal´´ kefahaman ke atas bacaan yang telah dilakukan di mana sebelum daripada itu maklumat dalam bacaan tersebut tidak diketahui atau telah diketahui, tetapi sekadar tahu-tahu ayam.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...