Tidak perlu hampa, orang yang lidahnya bercabang itu lambat laung akan tersungkur jua di mulut mereka yang berlidah lurus. Kebercabangan lidahnya itu adalah juga kebercabangan jiwanya, adalah lambang keporak-perandaan mindanya. Orang begini tidak lama kerna dia akan gila dalam menghitung dosa2nya.

Kebenaran dinilai pada perlakuan, bukan pengakuan. Mengaku benar sedangkan perlakuan adalah sebaliknya, adalah pendekatan orang yang sakit. Umpamanya, mengaku solat dan melakukan solat adalah dua perkara yang berbeda. Solat tidak terlaksana dengan hanya mengaku, ia adalah gabungan niat dan beberapa perlakuan berlandaskan tertib tertentu.

Semalam, aku dikejutkan oleh berita kematian sepupuku di tanah air. Sangat-sangat aku terkejut, juga berasa amat sedih dan pilu. Pertama, kerana kematiannya mengejut, bukan kerana sakit, atau mengidap apa-apa penyakit tetapi kerana terlibat dalam kemalangan jalan raya yang tragis. Kedua, kerana dia masih muda, baru genap 30 tahun usianya pada hari kematiannya, baru 2 tahun berkahwin dan baru menimang seorang cahaya mata berusia 11 bulan, yang masih menyusu badan. Ketiga, kerana dia amat terkenal dalam kalangan ahli keluarga kami malah dalam kalangan kawan-kawannya juga, samada kawan sekolah, kawan semasa menuntut di universiti hatta kawan-kawan di tempat kerjanya, sebagai seorang yang amat baik, berhati murni, sentiasa senyum dan tidak pernah marah. Dan keempat, yang membuatkan aku paling pilu ialah kerana aku berada terlalu jauh untuk pulang menatap wajahnya buat kali terakhir sebelum jenazahnya dikebumikan. Malah untuk menziarahi kuburnya pun aku terpaksa menunggu 2 tahun lagi. Kalaulah aku mampu terbang..

Arwah meninggal pada hari lahirnya, yang juga hari ulang tahun perkahwinannya yang ke 2. Pada pagi hari kejadian, arwah sempat menghadiahkan sehelai baju kepada suami tercinta sebagai hadiah ulang tahun perkawinan mereka. Arwah seorang guru yang dedikasi, disayangi oleh semua murid-muridnya, disenangi oleh rakan-rakan sekerjanya, dan seorang yang sangat amanah dalam melaksanakan tugas yang dipikulkan ke bahunya. Pemergiannya ditangisi oleh seluruh murid-muridnya, malah juga oleh seluruh rakan-rakan sekerjanya termasuklah guru besar sekolahnya, malah turut ditangisi oleh tukang kebun dan tukang sapu sekolahnya. Sikap ramah dan mudah mesra arwah membuatkan dia disayangi dan disenangi oleh semua. Tiada siapa pun boleh menafikan hal ini. Berduyun-duyun murid-muridnya datang menziarahi jenazahnya, berebut-rebut dan merayu-rayu mereka meminta izin ahli keluarganya untuk mencium arwah sebelum dia dikapan dan disembahyangkan. Air mata yang mengalir di setiap pipi mereka yang mengenalinya terutamanya mereka yang hadir melawat jenazahnya, tidak terseka. Seluruh hadirin sebak dan teresak-esak kerana mereka termasuk aku yang menerima berita pilu ini dari jauh amat terasa akan kehilangannya. Akan dia insan yang mulia, dijemput Tuhan mendahului kita.

Aku mempunyai terlalu banyak kenangan bersama arwah meskipun jarak usia kami agak jauh. Oleh kerana hubungan ibunya yang merupakan ibu saudaraku, denganku amat rapat dan mesra, maka hubungan aku dengan arwah dan adik beradiknya juga amat rapat dan mesra. Sikap arwah dari kecil memang amat menyenangkan. Arwah seorang yang tidak suka bergaduh, mainlah apa pun dengannya pasti dia yang mengalah. Itu cerita antara aku dan dia semasa kami kecil-kecil dahulu. Malah ketika dia besar dan menginjak remaja hatta ketika dia menuntut di universiti, bekerja dan berkahwin pun, sikap mulianya tidak pernah berubah. Yang paling diingati oleh semua dalam kalangan ahli keluarga kami ialah tugasnya sebagai pembancuh minuman yang tetap kepada siapa pun jua tetamu yang hadir di rumahnya. Setiap kali aku dan keluargaku berkunjung ke rumahnya, pasti dialah yang sibuk menyediakan minuman di dapur untuk dihidang pada para tetamu. Kalau kebetulan ke rumahnya sewaktu dia tiada, rasa tidak lengkap kerana pembancuh minuman yang sedap tiada. Kini, segalanya itu hanya akan tinggal dalam lipatan kenangan dan tiadalah lagi pembancuh minuman agung jika kami ke rumahnya selepas ini. Tiada siapa pun boleh menggantikan sikap ramah dan mudah mesranya yang amat disenangi oleh sesiapa jua. Itulah arwah!

Arwah seorang yang sangat mudah menghulur bantuan kepada sesiapa jua yang memerlukan walaupun terpaksa membelakangi kepentingannya sendiri. Masih ku ingat, ketika aku menetap di Kuala Lumpur dahulu dan arwah ketika itu menuntut di UiTM Shah Alam, aku sering meminta tolongnya menjaga dua orang anakku yang masih kecil jika aku mempunyai sesuatu urusan yang tidak dapat dielakkan. Contohnya, arwah sanggup datang seorang diri dari Shah Alam ke rumahku di Kerinchi semata-mata untuk menjaga anak-anakku kerana aku dan suami terpaksa ke Taiping Perak untuk menghadiri temuduga di UPSI. Seharian ku tinggalkan anak-anakku bersama arwah dari seawal subuh hinggalah ku pulang lewat petang yang mencecah waktu maghrib. Tidak ada sedikit pun riak resah atau hendak marah di wajahnya, walaupun terpaksa berulang kali membacuh susu, menyuap makan, membasuh dan memandikan anak-anakku yang kedua-duanya ketika itu masih menyusu dan memakai lampin (seorang berusia 2 tahun, seorang setahun). Walaupun ketika itu arwah belum mempunyai anak saudara dan tidak mempunyai pengalaman langsung mengurus budak kecil, tetapi dia telah melaksanakan amanah itu dengan jaya kerana dia sangat ikhlas dan melakukannya penuh suka rela. Itulah arwah!

Kali terakhir aku bertemu arwah ialah sewaktu aku pulang ke Malaysia tahun lepas antara bulan april hingga jun. Sebelum itu, aku tidak sempat menghadiri majlis kahwinnya kerana sewaktu ia dilangsungkan aku telah pun terbang ke mari, ke bumi Sepanyol ini. Ketika aku pulang ke Malaysia, arwah sedang sarat mengandung anak sulong. Maka sempatlah aku melihat puteri sulung arwah yang sungguh comel, malah sempat aku meriba dan mendukung bayinya di depannya dalam kunjungan aku ke rumah arwah menziarahinya yang baru bersalin. Alhamdulillah, bukan sekali aku berkunjung ke rumahnya di Gong Badak untuk menziarahinya yang dalam pantang, malah sempatlah 4, 5 kali. Puaslah aku menatap wajah puterinya yang sungguh comel dan puaslah aku menatap wajahnya dan bergurau senda dengan arwah. Kerana baiknya dan kerana ramahnya, dalam pantang pun arwah masih sudi melayan lawak-lawak senario aku yang memang sangat suka menyakatnya sejak dari kecil lagi. Arwah seorang yang berhati kebal, katalah apa pun padanya, berguraulah apa pun dengannya, arwah tidak pernah ambil hati, tidak pernah menyimpannya di dalam hati. Arwah seorang yang tidak tahu berdendam, malah tidak tahu marahkan orang. Itulah arwah!

Hakikat kebaikan dan kemulian arwah diakui oleh semua, bukan aku mengada-ngadakan cerita kerana dia adalah sepupuku. Aku mempunyai terlalu ramai sepupu, dan antaranya ramai pula yang telah pergi menemui Ilahi. Tetapi perasaanku tidak sesedih dan sehiba menghadapi pemergian arwah. Aku benar-benar berasa kehilangan meskipun baru sehari arwah pergi dan meskipun aku berada jauh di bumi asing ini. Meskipun jasad kami telah terpisah hampir setahun (dari tarikh terakhir aku melihatnya di bulan mei 2010), tetapi kerana kebaikan dan kemuliannya, maka arwah sentiasa berada dalam minda dan hatiku. Hampir aku tidak dapat menerima hakikat kehilangannya sewaktu dimaklumkan oleh ayahku menerusi telepon. Terduduk aku tanpa sedar, dan air mata laju menuruni pipi pucatku saat mendengar suara ayah menyebut “arwah telah tiada´´ di corong telepon. Tanpa sedar terpacul dari mulutku, “mengapa dia?´´.

Oh, ku pohon ampun darimu ya Allah, bukan aku tidak redha atas takdirmu ya Allah, bukan aku terlalu jahil untuk mengerti bahwa mati itu pasti ya Allah, tetapi aku terlalu terkejut, dan ia keluar secara spontan dek kerana otakku seperti tidak berfungsi sewaktu menerima perkabaran itu. Ampunilah aku ya Allah atas rapuhnya imanku, atas nipisnya sabarku, atas rendahnya kekuatanku, atas kecil dan kerdilnya aku dalam menghadapi ujianMu. Ya Allah, aku baru diuji oleh kematian seorang sepupu, bagaimana pula nanti jika Engkau mengujiku dengan kematian ibu bapa, adik beradik, anak-anak dan suami? Ya Allah, aku bermohon dengan segenap jiwaku, dengan seluruh hatiku, kurniakanlah aku kekuatan, kurniakanlah aku kekuatan, kurniakanlah aku kekuatan. Andai aku tersasar kembalikanlah aku ke pangkal jalan. Aku mahu redha menghadapi mereka yang pergi yakni redha  menerima takdirMu. Dan aku juga mahu pergi dalam redhaMu. Ya Allah, tempatkanlah roh arwah dalam kalangan hamba-hambamu yang beriman, yang soleh, yang engkau janjikan syurga. Kurniakanlah kekuatan kepada bonda dan ayahndanya, adik beradiknya, sanak saudaranya, sahabat handainya, rakan-rakan dan kenalannya, dalam menghadapi pemergiannya. Dan ya Allah, Engkau rahmatilah kehidupan zuriat tunggalnya, Fathimah. Amin. Akhir kata, Al fatihah untuk arwah Nor Rosniah Binti Hj. Sudin.

Arwah telah selamat kembali ke rahmatullah, sedikit peringatan kepada kita yang masih bernyawa di bumi Allah; Andai telah jauh menyimpang, sesungguhnya jalan pulang sentiasa terbentang. Andai telah berbuat banyak dosa, sesungguhnya pintu taubat masih terbuka. Siapa kata esok masih ada, sedangkan maut tidak menanti sesiapa. Segerakanlah taubat kerana ajal tidak tertangguh walau sesaat. Mati tidak mengenal usia, rupa, maupun harta. Ia juga tidak menunggu kita. Jika bukan sekarang juga, bilakah hendak insaf agaknya? Hendak menunggu tua, ramai sekali yang mati muda. Hendak menunggu sakit dahulukah baru hendak bertaubat sedangkan di masa sihat pun sudah tidak larat? Atau, hendak menunggu waktu susah kerana ketika senang hati menjadi buta, tidak nampak malah tidak gerun akan kebesaran Allah? Mari kita renungkan bersama sementara Allah masih meminjamkan kita nyawa.

Menerima hakikat jahil dan berusaha mencerdikkan diri adalah jauh lebih mudah dari berusaha menegakkan benang yang basah. Adalah mulia mengikut resmi padi, semakin berisi semakin tunduk ke bumi. Adapun ayam betina berketak riuh sedunia, walhal telur, sebutir cuma? Tambah malang, jika yang sebutir itu pun, temelang!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...